Syair Perahu - Hamzah Fansuri ( Rangkap 1 - 5 )




Inilah gerangan suatu madah
Mengarangkan syair terlalu indah
Membetulkan jalan tempat berpindah
Disanalah iktikad di perbetul sesudah

Berdasarkan bait-bait rangkap syair berikut, penulis membicarakan tentang perjalanan kehidupan manusia yang perlu dialirkan dengan iktiqad yang teguh kepada Deen Islam sepanjang hayat. Membicarakan tentang iktiqad, iktiqad merupakan kepercayaan, keyakinan yang teguh dan semestinya perlu ada terhadap setiap umat Islam. Hal yang demikian kerana ianya merupakan permulaan dalam memperteguhkan tauhid.


Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiadalah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu

Penulis menjelaskan bahawa seseorang manusia itu mestilah mengenali siapa dirinya dan tujuan asal hidupnya. Manusia itu diibaratkan sebagai perahu yang seharusnya tahu destinasi pelayarannya. Walaupun liku perjalanan dipenuhi ombak dan badai, seseorang manusia itu mestilah berusaha mengemudi 'perahu'nya selagi daya dikandung badan. Dalam hal ini, manusia tidak seharusnya berputus asa dalam mengecapi sesebuah impian yang diimpikan menjadi sebuah realiti yang nyata. Usaha yang berterusan akan membuahkan hasil yang terbaik. Oleh itu, penuhilah ia dengan mengejar sesuatu perkara yang menguntungkan kehidupannya. Seharusnya manusia itu tahu, hakikat penciptaan manusia di muka bumi ini adalah untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Dunia walaupun ia bersifat sementara, tetapi cukuplah diumpamakan sebagai penjara bagi setiap umat Islam. Hal ini kerana dunia bukanlah destinasi terakhir kita sebagai manusia, kerana destinasi hakiki kita adalah di Jannah yang kekal abadi.


Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan

Allah telah mengutuskan Rasulullah SAW sebagai seorang utusan dan Nabi yang terakhir sehingga ke hari Kiamat supaya dakwahnya dijadikan panduan kepada seluruh umat manusia. Di sepanjang perjalanan dakwah baginda, baginda tidak lokek berpesan kepada umatnya agar sentiasa berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang kedua-duanya merupakan sumber rujukan utama terhadap agama Islam itu tersendiri. Allah SWT telah berfirman di dalam surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud,

"... Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.." (Surah Al-Hasyr : 7)
Sabda Rasulullah SAW juga ada menyebutkan,

" Dari Malik, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah "  ( Muwatta' Malik No : 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status : Hadis Sahih.

Di dalam melayari bahtera kehidupan di dunia yang sementara ini, terlalu banyak dugaan dan ranjau kehidupan yang perlu dilalui. Begitu cepat dan pantas masa berlalu. Naik turun asam garam kehidupan yang penuh dengan tipu daya pasti akan dirasai oleh setiap manusia. Yang diatas tidak selamanya akan berada di atas dan yang di bawah tidak akan selamanya akan berada di bawah. Begitulah putaran kehidupan. Umpama roda yang sentiasa berputar.

Pada hakikatnya, melayari bahtera hidup tidak akan sama seperti melayari bahtera di lautan ciptaan manusia. Berbekalkan Al-Quran dan As-Sunnah, melayari bahtera kehidupan tidak akan sama sekali sesat jika seseorang manusia itu benar-benar berpegang teguh kepadanya. Namun, apa yang dilihat masa kini, terlalu ramai pelayar yang hanyut dengan ombak deras duniawi. Sehingga lupa bahtera yang kita bawa adalah amanah dari Allah yang hanyalah pinjaman dan akan dipulangkan kembali kepadaNya.

Kehidupan manusia diibaratkan sebagai seorang perantau, manusia itu sendiri yang akan melayarkan bahtera kehidupannya agar tidak terumbang-ambing dek ombak duniawi yang sentiasa memukul.


Perteguh jua alat perahumu
Hasilkan bekal air dan kayu
Dayung pengayuh taruh disitu
Supaya laju perahumu itu

Kehidupan seseorang manusia itu akan menjadi sia-sia ibarat sebuah kapal tanpa pengemudi di tengah bentangan lautan yang luas. Dunia adalah tempat persinggahan dan juga diumpamakan sebagai ladang akhirat yang merupakan tempat umat manusia mengumpulkan bekalan dalam menempuh perjalanan menuju ke negeri yang kekal abadi itu.

Al-Bukhari telah meriwayatkan, Rasulullah SAW telah bersabda,

"Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang sedang melakukan perjalanan" (HR Bukhari , No. 6053)
Berdasarkan hadis berikut, hadis demikian jelas menyatakan bahawa seseorang manusia itu mestilah tahu dalam menempatkan dirinya di dunia. Manusia itu sendiri diibaratkan sebagai seorang perantau yang hatinya tidak terikat dengan tempat persinggahannya yang sementara. Beruntunglah seseorang perantau itu jika sentiasa mempersiapkan dirinya dengan segala bekalan untuk pulang ke destinasi pelayaran terakhirnya. Walaupun pelbagai aral yang terpaksa didepani, dek kerana keyakinan dan ketulusan hatinya kepada Allah, ianya bukanlah suatu alasan untuk terus berdepan kerana hakikat manusia itu sendiri tidak akan terlepas daripada diuji. Hanya bekalan iman dan taqwa yang menjadi sebaik-baik bekalan dalam pelayaran kehidupan seseorang walau sekuat mana pun badai menghentam.


Sudahlah hasil kayu dan ayar
Angkatlah pula sauh dan layar
Pada beras kekal jantanlah taksir
Niscaya sempurna jalan yang kabir

Setiap manusia pasti akan mempunyai pengalaman hidup yang tersendiri. Suka duka dalam menghadapi ranjau kehidupan itulah yang menjadi pengajaran untuk melayari kehidupan yang mendatang. Kehidupan seseorang manusia itu diumpamakan sebagai senaskhah buku yang setiap daripada lembarannya adalah perjalanan harian kehidupan seseorang manusia. Sekali tertulis, tidak akan boleh dipadam lagi. Tapi hebatnya, seburuk apa pun halaman sebelumnya, akan selalu tersedia halaman yang bersih, baharu dan tiada cacat cela. Begitu jugalah kehidupan kita, seburuk apa pun kelmarin, Allah Ar-Rahman sentiasa memberikan kesempatan kepada kita untuk melakukan sesuatu yang benar dalam kehidupan seharian. Kita sebagai manusia, sewajarnya menulis halaman buku kehidupan dengan hal-hal yang baik semata. Jangan pernah lupa untuk sentiasa bertanya kepada Allah tentang apa yang harus ditulis setiap harinya. Supaya pada saat halaman terakhir buku kehidupan kita selesai, itulah bekalan yang akan membantu kita menuju jalan akhirat yang menjadikan kita seseorang manusia yang teguh iman dan taqwanya.

Nukilan dari : Fatiha

Comments

Popular posts from this blog

MERIAM LADA SECUPAK

MAKAM SYIAH KUALA