SASTERAWAN SUFI AGUNG : SYEIKH HAMZAH AL-FANSURI


Syeikh Hamzah Al-Fansuri telah banyak dibicarakan oleh ramai orang. Namun demikian, tidak dinafikan perkara-perkara baharu sentiasa dapat ditemui oleh para pengkaji. Pada mukadimah ini, saya menyatakan bahawa tanpa diketahui siapakah yang pertama mengkhayal rupa tokoh agung sufi Nusantara itu yang membawa kepada penemuan gambar imaginasi beliau.

Gambar Syeikh Hamzah Al-Fansuri dapat dikelaskan sebagai gambar imaginasi. Hal ini kerana pada zaman beliau sememangnya belum mempunyai alat-alat penggambaran. Sebenarnya, perkara yang sedemikian tidak hanya berlaku pada Syeikh Hamzah Al-Fansuri, tetapi juga berlaku kepada ulama'-ulama' lainnya seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri, Wali Sembilan dan lain-lain.

Hampir semua peneliti membicarakan tokoh ulama' ini pada zaman yang serba moden kini, merujuk kepada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib Al-Attas, beliau merupakan seorang yang banyak menaikkan nama Syeikh Hamzah Al-Fansuri di mata dunia. Dalam pada itu, walaupun kita membaca banyak karya Prof. Dr. Syed M. Naquib Al-Attas yang membicarakan Syeikh Hamzah Al-Fansuri, hal tersebut bukanlah bererti kita tidak perlu mentelaah karya-karya yang lain, terutamanya yang berupa manuskrip yang akan sedikit sebanyak menemukan informasi baharu yang belum lagi diperbincangkan. Misalannya, terdapat karya terkini yang menceritakan tentang Syeikh Hamzah Al-Fansuri yang berjudul Tasawuf Yang Tertindas Kajian Hermeneutik Terhadap Karya-Karya Hamzah Fansuri. Buku setebal 444 halaman itu telah dikarang oleh Dr. Abdul Hadi W.M dan terbitan pertama oleh Penerbit Paramadina, Jakarta pada tahun 2001.


ASAL-USUL DAN PENDIDIKAN

Prof. A. Hasymi dalam penyelidikan awalnya sangat bertentangan dengan penyelidikannya yang terakhir. Pada penyelidikan awalnya, beliau menyatakan bahawa ayah Syeikh Hamzah Al-Fansuri tiada hubungan adik-beradik bersama dengan ayah Syeikh Abdur Rauf Al-Fansuri. Namun demikian, beliau mengatakan bahawa Syeikh Hamzah Al-Fansuri itu mempunyai ikatan adik beradik bersama dengan Syeikh Ali Al-Fansuri di mana Syeikh Ali Al-Fansuri adalah ayah kepada Syeikh Abdur Rauf Al-Fansuri pada penyelidikan terakhirnya. Penyelidikan awal yang dimaksudkan adalah penyelidikan yang ditulis oleh Prof. A. Hasymi di dalam Ruba'i Hamzah Fansuri yang dapat diambil pengertian daripada kalimatnya, " Ayah Hamzah berpindah daripada Fansur (Singkel)" (terbitan DBP, 1976, halaman 11). Mengenai penyelidikan Prof. A. Hasymi yang menyebut Syeikh Hamzah Al-Fansuri saudara Syeikh Ali Al-Fansuri atau Syeikh Abdur Rauf bin Ali Al-Fansuri merupakan anak saudara kepada Syeikh Hamzah Al-Fansuri. Perkara ini dapat dirujuk melalui bahagian kata pengantar buku Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh karya Abdul Hadi W.M dan L.K. Ara yang diterbitkan oleh Lotkala.

Di dalam buku Hamzah Fansuri Penyair Aceh, Prof A. Hasymi telah menyebutkan bahawa Syeikh Hamzah Al-Fansuri hidup sehingga akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda ternyata mempunyai perubahan yang termaktub di dalam Ruba'i Hamzah Fansuri selengkapnya, "Hanya yang sudah pasti, bahawa beliau hidup dalam masa pemerintahan Sultan Alaidin Riayat Shah IV Saiyidil Mukammil (997-1011 Hijrah)". Yang dimaksudkan dengan "ternyata juga ada perubahan" ialah pada kalimat, "sampai ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda," menjadi kalimat "akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda."

Tarikh lahir Syeikh Hamzah Al-Fansuri belum tepat dipastikan, namu ada sumber yang menyatakan bahawa lokasi tempat kelahirannya adalah di Barus atau Fansur. Prof. A. Hasymi menyebutkan dengan lebih terperinci bahawa Fansur merupakan sebuah kampung yang terletak di antara Kota Singkel dan Gosong Telaga (Aceh Selatan). Semasa zaman kerajaan Aceh Darussalam, kampung Fansur itu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam yang terletak di bahagian Aceh Selatan. Tambahan pula, terdapat juga pendapat lain yang menyebut bahawa beliau dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam yang berhijrah dan menetap di Barus.

Dr. Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam kertas kerjanya menyebut bahawa ayah Syeikh Hamzah Al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh bersama Wan Ismail dan Po Rome atau Po Ibrahim (1637-1687M) yang meninggal dunia dalam pertempuran melawan orang Yuwun (Annam) di Phanrang. Syeikh Ismail Aceh dahulunya pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi menggantikan Gabenor Wan Ismail yang berasal dari Pattani. Beliau meletak jawatannya dengan menggantikan Syeikh Ismail Aceh kerana kelanjutan usianya. Menurut pendapat baharu Dr. Abdul Rahman Al-Ahmadi, dengan menambah Syahrun Nawi itu di Sri Banoi Sri Vini, selain yang disebutkan oleh ramai penulis bahawa Syahrun Nawi adalah di Siam atau Aceh. Dalam Pattani, iaitu antara perjalanan dari Pattani ke Senggora memang terdapat sebuah perkampungan yang dinamakan Nawi, berkemungkinan dari kampung itulah yang dimaksudkan termaktub dalam syair Syeikh Hamzah Al-Fansuri yang menyebutkan tentang Syahrun Nawi itu. Kampung Nawi di Pattani itu barangkali nama asalnya adalah Syahrun Nawi. Walau bagaimanapun, Prof. A. Hasymi menyebutkan bahawa Syahrun Nawi itu adalah nama dari Aceh sebagai peringatan bagi seorang Pangeran dari Siam yang datang ke Aceh pada masa silam yang bernama Syahir Nuwi yang mmebangunkan Aceh sebelum kedatangan Islam.

Merujuk pelbagai sumber, Syeikh Hamzah Al-Fansuri telah menguasai pelbagai ilmu yang memakan masa yang panjang. Selain pernah menuntut ilmu di Aceh, beliau juga telah mengembara ke pelbagai tempat seperti di Banten (Jawa Barat), bahkan ada sumber lain yang menyebut bahawa beliau pernah mengembara keseluruh Kepulauan Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Tanah Arab. Beliau juga dikatakan sangat mahir dalam ilmu-ilmu Feqah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang lainnya pula, beliau telah berjaya menguasai bahasa Arab, Urdu, Melayu, Parsi dan Jawa.


KARYA-KARYANYA

Syeikh Hamzah Al-Fansuri dapat dikategorikan sebagai orang yang terawal menghasilkan karya puisi/sastera yang berkonsepkan Islam. Hal ini lebih terserlah kemasyhurannya kerana pernah mengalami kontroversi yang dilemparkan oleh orang-orang yang tidak bersependapat dengannya seperti karya-karya Syeikh Nuruddin Ar-Raniri yang berlanjutan sehingga hari ini. Selain itu, karya-karya Syeikh Hamzah Al-Fansuri juga sentiasa dibicarakan dalam forum-forum ilmiah. Antara karya-karya yang telah dihasilkan oleh Syeikh Hamzah Al-Fansuri ini ialah :

1. Syarb Al-Asyiqin
2. Asrar Al-Arifin fi Bayan 'Ilm As-Suluk wa At-Tauhid
3. Al-Muntahi
4. Ruba'i Hamzah Fansuri
5. Kasyf Sirri Tajalli Asy-Syibyan
6. Kitab fi Bayani Ma'rifah
7. Syair Si Burung Pingai
8. Syair Si Burung Pungguk
9. Syair Sidang Faqir
10. Syair Dagang
11. Syair Perahu
12. Syair Ikan Tongkol

Karya-karya berikut dirujuk melalui buku Al-Ma'rifah Pelbagai Aspek Tasawuf Nusantara, Jilid 1.

Mengakhiri artikel ini, di sini dapat dijelaskan lagi bahawa makan Syeikh Hamzah Al-Fansuri telah ditemui sebagaimana ditulis oleh Dada Meuraxa: "Di suatu kampung yang bernama Obor terletak di hulu Sungai Singkel, terdapat makam ulama' dan pujangga Hamzah Fansuri mursit Syeikh Abdur Rauf (Hamzah Fansuri guru Syeikh Abdur Rauf)". Namun demikian, tarikh kewafatannya juga masih belum boleh dipastikan. Wallahu A'lam.

Nukilan dari : Fatiha

Comments

Popular posts from this blog

Syair Perahu - Hamzah Fansuri ( Rangkap 1 - 5 )

MAKAM SYIAH KUALA

MERIAM LADA SECUPAK