Pertemuan dan Perbincangan
Jumaat,
22hb Februari 2019:
Sering kali kita bertemu dengan ramai orang untuk menyelesaikan sesuatu masalah
atau ingin meminta pertolongan membuat sesuatu kerja yang kita tidak mampu
selesaikan. Tetapi hari ini kami bertemu dengan rakan-rakan kami dari Fakulti
Sains dan Politik (FISIP) serta Fakulti Sains dan Teknologi (SAINTEK) di De
Helsinki untuk berbincang tentang hal ehwal Malaysia dan Indonesia dari banyak
sudut terutamanya politik semasa dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang
sudah hampir setahun melabuhkan tirainya. Manakala di Indonesia, Pilihan Raya
Presiden bakal menjelang tiba pada 17 April 2019 yang menyaksikan pertembungan
dua calon besar iaitu Joko Widodo (Jokowi) dan lawannya Prabowo.
Sepanjang
jalan di Aceh dihiasi dan diwarnai dengan poster calon dari pelbagai parti yang
bertanding di peringkat kota sehinggalah ke peringkat Presiden. Manakala pilihan
raya di sini lebih memfokuskan kepada calon itu sendiri berdasarkan kepada
banyaknya banting dan kain rentang yang terpampang besar memfokuskan muka calon
berbanding politik kepartian yang menjadi tradisi di Malaysia sejak sekian
lama. Parti-parti politik yang bertanding mencecah puluhan mengalahkan jumlah
parti politik di Malaysia yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14
seperti Pakatan Harapan (gabungan PKR, BERSATU, AMANAH, DAP), Barisan Nasional
(gabungan UMNO, MCA, MIC, GERAKAN), PAS serta BEBAS.
Secara
keseluruhan selepas PRU ke 14 membuktikan rakyat Malaysia sudah matang dalam
membuat keputusan bagi memilih wakil dan pemimpin mereka apabila berubahnya
tampuk pemerintahan negara secara total daripada genggaman Barisan Nasional (BN)
selama 61 tahun kepada Pakatan Harapan (PH). Ini merupakan isyarat jelas
menunjukkan rakyat Malaysia bersedia untuk berubah demi kebaikan negara apabila
terdesak dan mungkin suatu hari nanti kita dapat mempelajari apa yang dilakukan
oleh rakyat Indonesia dalam memilih wakil mereka.
Comments
Post a Comment