Menahan Panas Bercampur Bahang

Ahad 17hb Februari 2019: Menahan panas dan bahang. Ya, itulah yang aku terfikir dan pengalaman menahan panas serta bahang semasa di tempat penginapan (Wisma Nusa Cendana), pejabat Pelajar Islam Indonesia (PII) serta di Panti Asuhan Nurul Huda tidak akan dapat ku lupakan selagi hayat dikandung badan. Mana tidaknya, sepanjang berada di sini penghawa dingin (AC) di Wisma Nusa Cendana berfungsi dengan perlahan seolah-olah tak pernah diservis walaupun sudah ditekan pada suhu yang rendah enam belas darjah Celsius. Di pejabat Pelajar Islam Indonesia (PII) tiada langsung kipas mahupun penghawa dingin (AC) yang melekat di siling atau di dinding. Yang ada hanyalah kipas kecil di lantai ditemani angin yang kadang-kala bertiup perlahan dan sederhana memasuki ruang bilik dan kawasan lapang pejabat PII. Perkara yang sama juga berlaku di Panti Asuhan Nurul Huda yang mana surau mereka hanya mempunyai dua atau tiga buah saja kipas kecil di dinding. Ini membuatkan aku sekali lagi kagum dan terkesan dengan ketahanan mereka pada cuaca yang panas dan bahang sepanjang hari tanpa atau sedikit sahaja alat penghawa dingin dan kipas.


Situasi sama juga boleh diperhatikan di kedai-kedai makan sepanjang jalan yang mana mereka meletakkan beberapa kipas sahaja atau langsung tidak meletakkan sebarang kipas (mungkin kerana kos yang tinggi untuk membelinya). Jadi, siapa yang mahu makan sila datang untuk menjamu selera di sini dan siapa yang tidak tahan panas walaupun sedikit boleh berambus (nyah kau dari sini) XD XD. Jadi menahan panas dan bahang adalah salah satu kunci kepada tahap kesabaran yang tinggi semasa berada di Aceh mahupun tempat-tempat lain yang berada dalam garisan Khatulistiwa seperti Malaysia. Dengan izin Allah semasa kami mahu pulang dari panti asuhan menuju ke Masjid Raya Baiturrahman untuk menunaikan solat Asar, hujan turun dengan lebatnya dan keadaan yang panas menjadi nyaman terasa buat seketika.


Pada waktu malam untuk menjimatkan kos, kami amat berbesar hati sekali lagi pulang ke Wisma Nusa Cendana selepas Isyak dengan berjalan kaki yang mengambil masa selama lebih kurang lima belas minit. Walaubagaimanapun, perjalanan pulang mengambil masa hampir setengah jam kerana salah seorang daripada kami mencari mesin ATM sehingga tiga kali kerana mahu menyelesaikan urusan apa entah. Alhamdulillah, akhirnya kami semua selamat sampai ke Wisma Nusa Cendana selepas enam hari mengharungi cuaca yang panas di siang hari dan bahang di malam hari semasa jauh berjalan kaki. Wallhualam.

Comments

Popular posts from this blog

Syair Perahu - Hamzah Fansuri ( Rangkap 1 - 5 )

MAKAM SYIAH KUALA

MERIAM LADA SECUPAK