Membedah Sejarah di Malam Jumaat

Khamis, 14hb Februari 2019: Sejarah merupakan suatu nilai warisan yang amat penting kepada setiap suku kaum dan etnik di seluruh dunia kerana ianya menjadi suatu bukti peninggalan yang penting. Sejarah juga mengingatkan kita tentang siapa diri kita yang sebenarnya (asal-usul) dan perlu dilihat sekali-sekala agar pengajaran serta iktibar yang lepas boleh menjadi panduan pada masa kini dan langkah hadapan. Semasa kami berlima berjumpa dengan Pak Tarmizi, saya amat terkesan dengan usaha yang dilakukan oleh beliau dalam menyimpan dan memelihara warisan sejarah silam yang berkaitan dengan Aceh seperti manuskrip lama, catatan, buku dan naskah Al-Quran yang berusia lebih kurang 400 tahun. Usaha beliau yang nampak seperti remeh dan kecil ini sebenarnya memberikan impak yang amat besar dalam usaha untuk mengekalkan warisan sejarah Aceh yang tidak ternilai dengan wang ringgit.


Semua bahan bukti sejarah (manuskrip lama, catatan, buku dan naskah Al-Quran) yang dikumpul oleh beliau diletakkan dalam sampul plastik yang disimpan rapi dan dibungkus menggunakan sampul surat yang berisi kayu cengkih dan beberapa jenis bahan sampingan untuk mengelakkannya daripada dimakan anai-anai. Antara banyak-banyak bukti sejarah berusia ratusan tahun itu, naskah Al-Quran paling banyak memberi kesan kepada saya kerana kehalusan seninya yang teliti. Saya amat kagum dengan hasil tangan orang terdahulu yang begitu mementingkan corak tulisan ayat-ayat Al-Quran konsisten dari awal muka surat hingga muka surat akhir. Walaupun kertas yang digunakan sudah berlubang dan berusia lebih kurang 400 tahun, ianya tetap menarik untuk dibaca dan dikaji. 


Di samping itu, terdapat suatu perkara unik boleh diperhatikan pada kertas yang digunakan pada hampir kesemua bahan sejarah ini, terdapat simbol yang membawa maksud tertentu. Simbol-simbol seperti burung dan perisai ini hanya akan menjelma sekiranya kertas yang digunakan dihalakan ke sumber cahaya tidak kira lampu suluh mahupun lilin. Menurut Pak Hermansyah yang turut serta bersama Pak Tarmizi, simbol-simbol yang unik ini memberi petunjuk untuk menentukan dari negara mana kertas ini berasal dan berapa usianya. Di samping itu, beliau juga ada menyimpan buku catatan lama yang merekodkan tentang kejadian gempa bumi dan tanah runtuh yang pernah terjadi di Aceh pada zaman dahulu-kala.


Lantaran itu, beliau menanyakan kami perbandingan antara orang dahulu dengan orang sekarang mana satu yang lebih hebat. Sudah tentu oang dahulu kala kerana walaupun tidak mempunyai peralatan dan teknologi percetakan (mesin fotostat, pencetak, pencetak laser) yang serba canggih seperti masa kini, namun mereka berusaha gigih untuk menyiapkan karya mereka menggunakan bahan-bahan yang ada pada masa tersebut. Kesimpulannya, kita sebagai generasi yang hidup pada zaman kini hendaklah menghargai dan memelihara hasil usaha dan keringat darah nenek moyang kita dalam menyebarkan dakwah Islam ke seluruh Asia Tenggara terutamanya di kepulauan Nusantara ini seperti Aceh yang menjadi kerajaan Islam terawal yang paling berpengaruh. Tanpa mereka, kita mungkin masih hidup di dalam kegelapan dan kejahilan yang berpanjangan. Wallahualam.


p/s: Bakal diupdate dengan gambar.

Comments

Popular posts from this blog

Syair Perahu - Hamzah Fansuri ( Rangkap 1 - 5 )

MAKAM SYIAH KUALA

MERIAM LADA SECUPAK