Mencari Titik Persamaan Antara Dua Pihak.

Jumaat, 15hb Februari 2019: Apakah persamaan di antara Turki dengan rakan-rakan di Universitas Ubudiyyah? Mari kita selidik dengan lebih dekat lagi. Semasa dalam perjalanan aku pergi menunaikan Solat Jumaat di Masjid Raya Baiturrahman yang terletak di pusat Banda Aceh, aku melihat banyak payung gergasi yang sama seakan-akan seperti di Masjid Nabawi dikembangkan seperti bunga yang berkembang mekar pada waktu pagi untuk melindungi para jemaah yang datang untuk beribadat di rumah Allah yang mulia ini daripada panas terik cahaya matahari. Payung-payung gergasi ini merupakan sumbangan dan pemberian dari Turki yang mana pada waktu bencana dahsyat tsunami melanda pada tahun 2004, mereka merupakan negara yang paling banyak memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa bencana seperti mendirikan berpuluh-puluh ribu buah rumah sebagai tempat berteduh mangsa yang telah ditimpa musibah.


Dari sudut pandang sejarah, Aceh telah lama menjalin hubungan perdagangan dengan Turki sejak dari zaman Sultan Iskandar Muda lagi yang mana dari Aceh mereka membawa tiga buah kapal besar berisi rempah (lada) ke Turki. Tetapi dalam tempoh perjalanan, 3 buah kapal ini menuju ke Turki memakan masa bertahun-tahun sehingga semua anak kapal habis bekalan mereka semasa berada di lautan. Jadi, mereka tiba di Turki dalam keadaan sehelai sepinggang kecuali secupak lada saja yang tinggal. Oleh kerana itu, Kerajaan Turki pada waktu itu telah berbesar hati menerima pemberian secupak lada dari mereka lantas terus membantu semua anak kapal dari Aceh. Mereka diberikan sepersalinan pakaian baru, bekalan yang mencukupi di lautan serta kepakaran membuat senjata api dari Turki sendiri. Di samping itu, mereka diberikan kepercayaan untuk mengibarkan bendera Turki di kapal mereka sendiri.


Manakala rakan-rakan di Universitas Ubudiyyah Indonesia (UUI) pula sudi membantu kami dengan menunjukkan tempat-tempat yang penting seperti kedai yang menjual barang-barang keperluan harian dengan harga yang murah dan berpatutan. Walaupun motor mereka masih berada di tempat parkir, mereka sanggup memilih untuk berjalan kaki jauh dari kampus untuk membantu kami. Sampaikan mereka mahu belanja kami minum air, tetapi kami menolak pelawaan mereka untuk membayar air yang kami minum dengan ikhlas. Saya amat terkesan serta tertarik dengan sikap mereka yang baik hati dan ikhlas dalam membantu orang terutamanya yang datang dari luar Aceh seperti dari Malaysia. Akhir bicara dapatlah disimpulkan bahawa persamaan di antara orang Aceh dan Turki adalah mereka amat baik hati dalam membantu orang ramai terutamanya saudara seagama walaupun berlainan warna kulit, jantina dan negara. Hal ini kerana hati yang baik dapat membentuk kesatuan hati walaupun berlainan negara. Wallahualam, sekian saja.


p/s: Bakal diupdate dengan gambar.

Comments

Popular posts from this blog

Syair Perahu - Hamzah Fansuri ( Rangkap 1 - 5 )

MAKAM SYIAH KUALA

MERIAM LADA SECUPAK